Tuesday, September 1, 2009

TIADA ILAH MELAINKAN ALLAH

1. La Ilaha Illallah (Tiada Tuhan melainkan Allah) merupakan bahagian pertama daripada kalimah pengakuan keimanan. Ia bermaksud tiada sesuatu pun yang patut ditujukan pengabdian melainkan Allah.

2. Muhammad Rasulullah (Muhammad Utusan Allah) adalah bahagian keduanya. Ia bermaksud, pengabdian itu mestilah dilakukan berlandaskan ajaran dan cara yang ditunjuk ajar oleh Rasulullah SAW.

3. Mentauhidkan Allah dengan makna makrifat yang sebenarnya hendaklah merangkumi tiga perkara iaitu :

a. Tauhid Rububiyyah
b. Tauhid Uluhiyyah
c. Tauhid Al-Asma’ was Sifât

TAUHID RUBUBIYYAH
Rububiyyah berasal daripada perkataan Rabb (رب) dan dari konteks linguistik, ia mengandungi beberapa maksud seperti berikut:
pemeliharaan anak atau pemeliharaan kebun. Ia menjaga dari segala kesusahan kerana ia bertugas sebagai pemelihara, penjaga, pengasuh segala urusan yang berhubung dengan anak atau kebun.
Pemimpin atau pembela umat. Apabila ia memerintah ia menjalankan kepimpinan dan hukum; dan ia dianggap sebagai pemimpin masyarakat.
Majikan yang menjaga dan mengawasi rumah atau memilikinya juga digunakan sebagai penternak atau gembala. Ia bererti ada pertaliannya dengan fungsi raja yang memerintah, mendidik dan membela serta mengawasi.
Jika perkataan Rabb digunakan untuk Dzat Ilahi, maka hakikatnya Allah merupakan Raja bagi segala makhluk. Ia sebagai Tuhan, sebagai Raja bagi segala raja, yang Maha Agung dan Maha Hakim serta tidak ada yang lebih agung dan hakim selainNya. Dia yang menjadikan alam semesta dengan pengaturan yang rapi, pemeliharaan dan pengendalian pergerakan seluruh alam.
Dari segi istilah syara’, Tauhid Rububiyyah bermaksud mentauhidkan Allah pada mencipta alam, mengurus dan mentadbirkannya, memiliki, memelihara, menghidup, mematikan dan seterusnya, di mana terkandung di dalamnya juga beriman dengan qadar.
Tauhid ini sahaja tidaklah mencukupi dalam mencapai iman dan Islam, kerana Allah SWT menyatakan bahawa orang-orang musyrik juga mengakui tauhid ini.

FirmanNya di dalam Surah Yunus ayat 10:

“Katakanlah: Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi atau siapakah yang memliki penciptaan, pendengaran dan penglihatan? Siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup dan siapakah yang mengatur segala urusan? Maka mereka akan menjawab: Allah! Maka katakanlah: Mengapa kamu tidak bertakwa kepadaNya?”

Rujuk juga surah Az-Zukhruf ayat 87, Al-Ankabut ayat 61 dan 63

Keingkaran manusia kepada adanya pencipta hanya kerana kesombongan dan ketakburan, bukan bererti fitrah manusia menolak adanya Pencipta. Kerana itu apabila kepompong kesombongan yang mengurung fitrah itu hilang, maka tanpa disedari manusia pada suatu waktu terpaksa menyerahkan dirinya kepada kekuasaan Allah dan meminta tolong kepadanya. Hakikat ini menjadi ketara apabila manusia menempuh detik-detik genting di mana segala pengharapan terputus, kecuali yang bersandar kepada Yang Maha Esa.

FirmanNya di dalam surah Luqman ayat 32:
“Apabila mereka dilamun ombak yang (besar) seperti gunung, mereka menyeru Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepadaNya. Tetapi tatkala Allah menyelamatkan mereka sampai ke daratan, maka sebahagian mereka sahaja yang tetap menempuh jalan yang lurus. Dan tidak ada yang mengingkari ayat-ayat Kami selain orang-orang yang tidak setia lagi ingkar”

Daya memahami adanya Allah Yang Maha Pencipta, sudah semulajadi dibekalkan ke dalam naluri manusia. Oleh yang demikian, perbahasan mengenai Tauhid Rububiyyah bukanlah merupakan sasaran utama perbincangan Al-Quran. Persoalannya adalah sama ada fitrah ini dibentuk, dipupuk, diseleweng atau dibanteras. Jika dibanteras, bermakna manusia tersebut menzalimi dirinya sendiri. Sekiranya terseleweng maka akan songsanglah insan tadi mengharungi hidup ini, celakalah dia di neraka nanti.

Dan seandainya naluri ini dipupuk, dididik dan dipertingkatkan ketaqwaannya, maka pasti akan menatijahkan keyakinan yang bulat bahawa Allah sahajalah sumber cipta, Allah sahajalah yang berhak menerima pengabdian – ringkasnya pengiktirafan uluhiyah Allah secara mutlak dan serba merangkumi.

TAUHID ULUHIYYAH
Iaitu dengan ikhlas memberikan kepada Allah, dengan mahabbah (cinta) kepadaNya, khauf (takut) kepadaNya, raja’ (pengharapan), tawakal dan raghbah (keinginan) dan rahbah (kegerunan) hanya kepada Allah. Bahawa semua itu dibina dengan ibadat yang ikhlas zahir dan batinnya kepada dan kerana Allah. Tidak ada sekutu bagiNya, tidak dijadikan ibadat itu kepada selainNya. Seterusnya menerima segala hukum dengan yakin dan redha.

Perkataan Ilah lazimnya diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu sebagai TUHAN. Penterjemahan itu tidaklah salah tetapi pemahaman Bahasa Melayu terhadap perkataan Tuhan tidak merangkumi keseluruhan makna Ilah yang dikehendaki oleh nas syara’.

Selain daripada Allah, perkataan Tuhan ditujukan kepada patung-patung berhala atau dewa-dewi Hindu dan Buddha. Orang Melayu yang beragama Islam yang tidak menyembah patung-patung itu tadi sudah tentu menganggap bahawa mereka sudah menyempurnakan kewajipan mengiktiraf Allah sebagai Tuhan dan bebas daripada syirik. Sedangkan pemahaman serpihan terhadap makna Ilah itu tadi akan mendedahkan mereka kepada pelbagai syirik lain yang boleh berlaku tanpa disedari dan di luar kefahaman.

Untuk mengelakkan kekeliruan, eloklah kita perhatikan kepada penggunaan perkataan ILAH di dalam Al-Quran:
“Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai ILAHnya…”
(Al-Jatsiyah : 23)

Di dalam ayat ini Allah SWT telah menujukan perkatan ILAH kepada hawa nafsu. Sudah tentu perkataan ILAH yang diertikan sebagai tuhan menurut kefahaman biasa tidak akan dapat menggambarkan hawa nafsu sebagai tuhan. Ini membuktikan bahawa perkataan ILAH mempunyai makna yang jauh lebih luas dari perkataan tuhan yang biasa.

Perkataan ILAH membawa kepada pengertian yang saling melengkapi. Untuk tujuan perbincangan, kita bahagikan ia kepada enam pengertian iaitu:

1. Tuhan menurut pengertian lazim
2. Tumpuan atau matlamat pengabdian
3. Tempat perlindungan
4. Tumpuan kecintaan
5. Pemberi rezeki
6. Sumber perundangan

1. TUHAN – Menurut Kefahaman Lazim
Kalimah syahadah membawa pengertian bahawa tiada tuhan melainkan Allah, suatu hakikat yang telah kita sedia maklumi. FirmanNya:
“Allah menyaksikan bahawsanya tidak ada ILAH melainkan DIA. Para malaikat dan orang-orang yang berilmu (juga mengatakan demikian juga). Yang menegakkan keadilan…”
(Ali Imran : 18)

Allah sahajalah Tuhan di langit dan di bumi, pendeknya di seluruh alam.
“…Dan Dialah ILAH di langit dan di bumi, dan Dia Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui”
(Az-Zukhruf : 84)

Sebagai Tuhan yang tunggal, segala kekuasaan dan penciptaan secara multak adalah hakNya sahaja.

“Katakanlah (Wahai Muhammad) : Ajaklah mereka yang kamu anggap (mereka itu berkuasa) selain Allah. Mereka tidak memiliki (kekuasaan) seberat zarah pun di langit mahupun di bumi. Dan mereka tidak mempunyai saham sedikit pun dalam pencapaian langit dan bumi, dan sekali-kali tidak ada di antara mereka yang menjadi pembantu bagiNya.”
(Sabâ : 22)

2. ILAH – Tumpuan Dan Matlamat Pengabdian
Kita mengakui bahawa tiada yang berhak disembah selain Allah dan Allah sahajalah tumpuan serta matlamat pengabdian kita, tidak yang lain.

Bahkan sememangnya manusia dan jin itu diciptakan oleh Allah untuk tujuan pengabdian kepadaNya. Penyembahan dan pengabdian ini dilakukan dengan melaksanakan ibadat kepada Allah. Sehubungan dengan itu juga, perkataan ibadat mestilah difahami menurut pengertiannya yang sebenar agak ia tidak dipandang sempit.

Pengaruh sekularisma yang memisahkan agama daripada kehidupan mendorong masyarakat agar memahami ibadat sebagai aturcara manusia berhubung dengan Tuhannya semata-mata tanpa ada kaitan dengan urusan kehidupannya di dunia dan hubungannya sesama manusia. Sedangkan kalimah syahadah menuntut supaya ibadah itu dilakukan setiap masa, di setiap tempat, meliputi dan menyerapi setiap aspek serta ruang lingkup hidup insaniah.

“Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah untuk Allah, Tuhan sekalian alam”
(Al-An’am : 162)

“Dan tidaklah mereka itu diperintahkan, kecuali menyembah ILAH yang Esa, yang tiada ILAH melainkan Dia. Maha Suci (Allah) dari apa yang mereka sekutukan dengan Dia.”
(At-Taubah : 31)

Ringkasnya, implikasi kalimah La Ilaha Illallah iaitu ialah, seluruh hidup mestilah berterusan di dalam ubudiyyah kepada Allah. Tiada sebarang pengabdian atau ketaatan yang berdiri sendiri bahkan semua tindakan, perbuatan dan khidmat yang diberikan mestilah terpancar dan bersumber daripada ketundukan dan kepatuhan kepada Allah semata-mata.

3. ILAH – Tempat Perlindungan
Kepercayaan dan kefahaman tentang kuasa Allah sudah tentu akan mewarasi fikiran bahawa tidak ada siapa yang mampu memberikan perlindungan secara mutlak selain daripada Allah. Segala perlindungan yang diberikan oleh mana jua makhluk adalah bersifat sementara dan bergantung terus kepada keizinanNya. Dia bebas mencabut keizinan itu pada bila-bila masa dan tinggallah insan itu berpaut pada dahan yang rapuh.

Maksud ILAH sebagai tempat perlindungan dapat dilihat dari ayat-ayat berikut sebagai contoh:

“Katakanlah : Aku berlindung dengan Rab manusia, Raja Manusia, ILAH manusia”
(An-Nas : 1-3)

“Dialah Rab timur dan barat, tiada ILAH melainkan Dia. Maka terimalah Dia sebagai Pelindung.”
(Al-Muzammil : 9)

Natijahnya, akan timbullah keyakinan bahawa Allah sahajalah yang mampu memberi manfaat atau mudharat (lihat Al-Ma’idah : 76).
Ia juga akan membebaskan dari segala pautan ketakutan dan pengharapan yang lain dari Allah. Dengan cara ini akan hilanglah rasa gentar untuk melaksanakan hukum hakam Allah, walaupun terpaksa berhadapan dengan apa sahaja cabaran menurut perhitungan manusia.

Segala kemegahan dan kekuasaan kuasa-kuasa makluk itu akan menjdi fatamorgana yang sementara, tidak ubah seperti gagah perkasanya patung wayang kulit. Apabila selesai persembahan maka akan terhimpit-himpitlah mereka antara satu sama lain di dalam peti yang sempit, hinggakan yang paling gagah sebentar tadi akan berada di susunan paling bawah tertindas (lihat Al-Baqarah : 150).

4. ILAH – Tumpuan Kecintaan
Bagi mereka yang benar-benar mempersaksikan La Ilaha Illallah, maka Allah sahajalah yang menjadi tumpuan kecintaan mereka bahkan tiada yang menyamai atau menyaingi kecintaan tersebut. Perhatikan maksud ayat-ayat berikut:

“Katakanlah: Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara mara, isteri-isteri dan kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah semua itu lebih kamu cintai dari cinta kamu kepada Allah dan RasulNya dan (dari) berjihad di jalanNya? Maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq (durhaka).
(At-Taubah : 24)

“Dan ada di antara manusia orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah. Dan jika seandainya orang yang berbuat zalim itu mengetahui tatkala mereka melihat azab…”
(Al-Baqarah : 165)

Segala cinta dan kasih sayang bagi mereka yang benar-benar beriman adalah hasil kecintaan kepada Allah. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Tiga perkara yang barangsiapa memilikinya nescaya dia akan merasa kemanisan iman, iaitu apabila Allah dan RasulNya lebih dicintainya dari segala sesuatu selain keduanya, apabila seseorang mengasihi seseorang yang lain kerana Allah, dan apabila dia benci untuk kembali kepada kufur sebagaimana bencinya ia untuk dicampakkan ke dalam api neraka”
– Riwayat Bukhari dan Muslim

2 comments:

  1. Assalamualaikum wbt.......
    Boleh menambah bahan berkaitan akidah dengan merujuk kitab seperti Ahli Sunnah Waljama'ah, kitab bimbingan mukmin dan lain-lain lagi

    ReplyDelete
  2. Selain itu, boleh juga dimasukkan bahan berkaitan dengan perkara yang hangat diperkatakan sekarang seperti isu bida'ah dalam perkara dan ibadat yang sering kita lakukan seperti bacaan yasin, solat sunat tarawih dan lain-lain lagi supaya dapat memberi pemahaman serta penjelasan berkaitan perkara tersebut

    ReplyDelete