Saturday, October 3, 2009

Ilmu Tasawuf dalam peribadi umat Islam

Tasawuf merupakan salah satu dari tiga tiang asas agama Islam. Ia merupakan dimensi kerohanian bagi agama ini. Dengannya iman dan keyakinan menjadi lebih kuat, pelaksanaan terhadap tuntutan syariat menjadi lebih sempurna dan penghayatan nilai-nilai akhlak menjadi lebih berkesan. Dunia Islam telah melahirkan ramai tokoh ahli tasawuf berkaliber. Mereka telah meletakkan asas-asas, menghuraikan permasalahan dan menulis karya-karya demi menyebarkan ilmu dan menjaga tasawuf daripada penyimpangan dan penyelewengan golongan yang jahil, berpura-pura dan berniat jahat terhadap tasawuf dan Islam

Tasawuf selalu diberikan gambaran yang menyentuh sudut-sudut tertentu sahaja terutamanya ketinggian akhlak, kezuhudan, peribadatan dan kekeramatan lahiriah. Menggambarkan tasawuf dengan gambaran-gambaran tersebut ternyata tidak tepat dan tidak menyentuh intipati sebenar dan menyeluruh tentang tasawuf itu. Pengertian sebenar tasawuf itu ialah pencapaian darjat ihsan yang digambarkan dalam hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Ihsan itu ialah engkau beribadah kepada Allah seolah-olahnya engkau melihat-Nya, sekiranya engkau tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihat engkau.”

Antara elemen asasi tasawuf ialah kezuhudan dengan erti ketidakcenderungan hati kepada perkara keduniaan, bukan semata-mata meninggalkan perkara keduniaan. Elemen kezuhudan dalam tasawuf dapat dilihat antara lain pada takrifan yang diberikan oleh Samnun. Tasawwuf menurut beliau ialah bahawa engkau tidak memiliki sesuatu dan tiada sesuatu yang memiliki engkau. Begitu juga yang terdapat pada takrifan Ma`ruf al-Karakhi di mana tasawuf menurut beliau ialah berpegang dengan hakikat dan berputus-asa (tidak berkeinginan terhadap apa yang ada pada tangan (milik) makhluk.

Elemen-elemen seperti peribadatan, berakhlak mulia dan kezuhudan lahiriah secara berasingan tidak menggambarkan hakikat sebenar tasawuf, namun ia adalah sebahagian daripada elemen yang membentuk tasawuf dan tidak dapat dipisahkan daripadanya. Ketekunan melakukan amal ibadah tidak semestinya menunjukkan kesufian. Demikian juga memiliki akhlak yang mulia dan kezuhudan. Namun, seorang sufi itu pasti menekuni amal ibadah, berakhlak mulia dan bersifat zuhud dalam bentuk yang sesuai dengan keadaan mereka.

Daripada penjelasan yang telah dibuat dapat disimpulkan bahawa tasawuf merupakan maqam Ihsan yang menjadi sebahagian daripada rukun agama. Tasawuf mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan aqidah di mana aqidah itu adalah asasnya dan tasawuf itu berfungsi dalam memperkukuh dan memurnikannya. Demikian juga tasawwuf itu mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan syariat di mana syariat itu adalah laluan untuk mencapai tasawwuf dan tasawwuf itu pula berfungsi memantapkan lagi perlaksanaan terhadap syariat. Syariat tidak boleh dipisahkan daripada tasawuf dan tidak ada pertentangan di antara kedua-duanya. Tasawwuf bukanlah suatu keanehan dan kepelikan tetapi ia adalah maqam ubudiyyah

2 comments:

  1. Assalammualaikum....
    Perjelasan untuk setiap bahan yang diberikan perlu dimudahkan bagi memudahkan orang yang membaca bahan ini lebih memahami seperti meletakkan bahan rujukan atau senarai kitab-kitab yang boleh dirujuk sebagai panduan

    ReplyDelete
  2. yela asmah...lau melakukan ibadah tp,akhlak tidak jaga...maka x kan mencapai kesempurnaan yg hakiki..

    ReplyDelete